Maksud Jiran
Adab-adab dan Hak-hak Jiran
1.Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Antara caranya dengan memulakan salam jika bertemu dengan sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim.
2.Sentiasa bertoleransi samada yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.
3.Tidak menyakiti mereka samada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar sangkaan buruk.Jiran yang jahat dan tidak berakhlak digambarkan sebagai lembaga hitam yang telah dirasuk syaitan sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.
Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah SAW pernah bersabda; “Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman. Sahabat bertanya: “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?. Rasulullah SAW menjawab : Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Tidak masuk syurga barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)
4. Sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan menghormati mereka sebagai manusia.Sentiasa merendahkan diri dan berlemah-lembut dengan mereka dan mengelak diri dari bersikap takabbur.
5. Sentiasa bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan.
6. Menyintai mereka seperti mana kita menyintai diri kita sendiri. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka, selagi tidak bertentangan dengan syariat agama dan sama-sama berusaha menghindarkan perkara-perkara yang mereka tidak sukai.